Baru - baru ini pada 26 dan 27 Disember 2012
Jabatan Ketua Menteri Melaka telah diaudit semula bagi Persijilan 5S oleh pihak
MPC. Pengauditan semula dilakukan bagi
memastikan piawaian bagi amalan 5S yang diterapkan di seluruh Jabatan Ketua
Menteri Melaka sentiasa dipatuhi dan secara tidak langsung untuk memupuk usaha-usaha penambahbaikan terhadap amalan tersebut. Displin kakitangan JKMM juga
dapat dibentuk dengan mengutamakan
kebersihan, kecekapan, kemesraan, ketepatan, penyeragaman dan keselamatan di
samping meningkatkan kualiti dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
Majlis Penutup Pengauditan Semula 5S telah
dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri,
Mohammad Salleh bin Mohamad dengan dihadiri oleh Saudara Roslan bin Mat Nong,
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, JKMM sebagai urus setia. Turut
hadir adalah dua (2) orang pegawai dari MPC iaitu Tuan Hj. Omar Othman (Ketua Auditor) dan Saudara Abd. Malek Aripin
serta ketua-ketua bahagian dan agensi
di JKMM.
Secara keseluruhan, kesemua bahagian dan agensi
menepati kriteria 5S akan tetapi tiada unsur-unsur inovasi dan penambahbaikan.
Markah purata adalah sebanyak
83.1% manakala Bahagian
Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah mendapat markah tertinggi iaitu 97%.
Ulasan dari pihak MPC menyebut bahawa BPSM
mendapat markah yang tinggi kerana adanya penambahbaikan dan inovasi yang
dicetuskan dalam menjalankan kerja seharian. Usaha ini bukan sahaja memudahkan
urusan kerja malahan menambah nilai kepada kualiti penyampaian perkhidmatan
yang diberikan kepada pelanggan. Antara inovasi dan penambahbaikan yang
dilakukan di BPSM ialah sistem Ex-file
iaitu memudahkan urusan pencarian fail, sistem E-XIT untuk pemantauan keluar
dan masuk pegawai, Tin-bot Crusher
iaitu alat pemampan tin sebagai usaha menyokong teknologi hijau, Smart ICT
trolley (sITY) dan banyak lagi. Oleh
yang demikian, BPSM sewajarnya dijadikan benchmark
oleh bahagian dan agensi lain ke arah meningkatkan mutu kerja dan pengamalan
5S.